Seorang petani tua tinggal bersama cucunya di sebuah kawasan pedalaman. Rutin sesudah subuh sebelum bertani, Si Atuk akan membaca al-Quran di pangkin. Amad, cucu Si Atuk sentiasa memerhatikan gelagat atuknya, dan berusaha untuk merutinkan bacaannya seperti atuk.
Suatu hari Amad bertanya, "Atuk, Amad cuba untuk baca al-Quran setiap hari macam Atuk, tapi Amad selalu tidak faham. Bila faham sekali pun, Amad tetap akan lupa bila Amad tutup al-Quran. Apa ya kebaikan baca al-Quran, Atuk?"
Si Atuk menutup al-Quran dan tersenyum, faham benar dengan pertanyaan cucu tunggalnya itu. Tidak menjawab soalan Amad, sebaliknya Atuk menyuruh Amad berbuat sesuatu, "Amad ambil bakul arang di dapur. Pergi ke sungai dan bawa balik sebakul air untuk Atuk."
Amad hanya menurut, pergi ke sungai, mengisi air ke dalam bakul, dan berjalan balik ke rumah. Sebelum sampai ke rumah, air terkeluar melalui lubang-lubang bakul yang dibuat daripada rotan. Amad berpatah balik ke sungai sekali lagi.
Dari jauh Si Atuk memerhatikan gelagat Amad sambil tertawa, lalu berteriak, "Amad perlu bergerak lebih laju, supaya sempat sampai di rumah!"
Kali ini Amad berlari lebih laju, tetapi hasilnya tetap sama, bakul tetap kosong sebelum sampai ke rumah. Tercungap-cungap keletihan, Amad fikir terlalu mustahil untuk membawa air menggunakan bakul, lalu dia mencapai baldi.
"Atuk tidak mahu air dari baldi, Atuk hanya mahu air dari bakul. Amad belum berusaha dengan bersungguh, Atuk tahu."
Lalu Amad mencapai bakul tadi dan segera ke sungai, dia ingin membuktikan kepada Atuknya yang dia telah berusaha bersungguh-sungguh. Malah semakin cepat Amad berlari, semakin cepat air keluar daripada bakul tersebut.
"Tengok Atuk, tidak berguna bukan? Bakul ini tetap kosong," kata Amad kepada Atuknya, menelan rasa kecewa.
Betulkah tidak berguna?
"Tidak berguna kata Amad? Cuba Amad lihat bakul itu."
Amad melihat bakul di tangannya, dan Amad baru perasan satu perkara, iaitu bakul itu tidak lagi comot dengan kesan arang dan tanah, malah jauh lebih bersih, luar dan dalam.
"Amad, itulah yang berlaku bila kita selalu membaca al-Quran. Kita mungkin tidak faham, atau tidak ingat apa-apa, tetapi yakinlah bila kita membacanya, kita akan berubah, luar dan dalam".
Amad tersenyum lebar dan penuh bahagia, persoalannya kini terjawab.
"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"
2 comments:
Kadang2 kita tak nampak apa yang kita buat tu ada kebaikannya wpun sukar dan nampak macam tak ada faedah :)
betul tu...
Post a Comment