Disini Bermula Segalanya..

Disini Bermula Segalanya..

Thursday, March 1, 2012

1
Komen

Mahligai Cinta Abadi






Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat dipertemukan sekali lagi untuk berkongsi sedikit ilmu yang tinta peroleh ini maka tinta ingin berkongsikan dengan anda semua. Seperti biasa sebagai pembuka kalam kali ini, ayuh kita lihat kata-kata Prof. Dr. Hamka ini.

“Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada setiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnya yang berlainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus , tumbuhlah kedurjanaan, dusta, penipu dan lain-lain perkara tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai terpuji.”




Apa yang dapat kita fahami daripada kalam di atas? Sebenarnya cinta itu adalah fitrah yang ada pada diri setiap manusia itu. Jika tiadanya cinta maka kita tidak akan mengenal Pencipta, tanpa cinta kita tidak akan mencintai Baginda Rasulullah dan tanpa cinta mungkin kini manusia akan saling melakukan pemberontakan antara satu sama lain. Jadi cinta itu adalah anugerah daripada Allah SWT kepada setiap hambaNya sebagai wadah dalam mendekatkan diri dan mengabdikan diri kepadaNya.




Persoalannya kemanakah kita membawa bahtera cinta ini? Adakah di jalan yang diredhai ataupun sebaliknya?




Mungkin tidak asing bagi kita pada hari ini, apabila kita bicara tentang cinta. Ada satu lagi istilah yang amat berkait rapat dengan cinta iaitu COUPLE. Ramai remaja kita dibuai oleh khayalan cinta murahan ini (COUPLE). ‘Aku cinta padamu!’ , ‘Akan ku redah lautan badai dan aku renangi lautan berapi!’ dan banyak lagi ungkapan manis yang acapkali dilontarkan apabila seorang uda dan dara dibuai khayalan cinta murahan ini. Tetapi adakah mereka sanggup lakukan segala apa yang diperkatakan? Tepuk dada, gegar minda kita agar tersingkap khayalan yang dek bermain di ruang legar minda kita saat ini.




Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud, "Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk."




Nah, jelas dalam ayat di atas telah menerangkan bahawa Allah melarang hambaNya dalam menghampiri perbuatan zina ini. Untuk menghampiri zina telah haram apatah lagi untuk kita melakukannya. Adakah kita berani melanggar perintah Pencipta kita iaitu Allah SWT ini? Sedangkan Dia-lah yang telah mencipta kita tetapi kita ingkar akan perintahNya. Kita telah melakukan kezaliman kepadaNya dengan mengingkari perintahNya. Adakah ini balasan kita kepada Allah SWT yang telah mencipta kita selama ini?




Budaya COUPLE yang rancak dipraktikkan oleh golongan remaja hari ini merupakan suatu budaya yang bertentangan dengan fitrah dan tidak berlandaskan syariat Islam. Cuba kita imbas kembali kata-kata Dr. Hamka di atas, jika cinta itu jatuh di tanah yang tandus maka banyaklah perkara-perkara yang tercela akan berlaku. Kenapa ini semua berlaku? Dek kerana cinta itu tidak diberkati oleh Allah dan tidak terarah kepadaNya. Majoriti remaja kita pada hari ini, dengan tiadanya sifat malu dalam diri dengan penuh bergaya melakukan aksi-aksi dan perlakuan yang bertentangan dengan syariat Allah SWT. Berpelukan, berpegangan, bercumbuan dan pelbagai lagi aksi-aksi yang acapkali dilakukan ketika berCOUPLE.




Mungkin keseronokan ini dapat dirasakan tetapi ketahuilah bahawa keseronokan ini bukanlah untuk selamanya kerana azab Allah pasti tiba apabila kita telah murka dengan PerintahNya. Kini satu lagi fenomena yang berlaku ialah ‘COUPLE ISLAMI’ yang semakin popular dalam kalangan remaja. ‘Kami couple ustaz tapi kami tak pernah pegang apatah lagi melakukan benda yang haram!’ Inilah ayat yang acapkali dijadikan sebagai alasan dalam menghalalkan COUPLE ini. Seperti yang telah saya terangkan di atas iaitu, Allah melarang kita untuk mendekati zina. Mungkin pada peringkat awal kita mengatakan bahawa kita tidak melakukan perkara-perkara yang terlarang tetapi kita perlu sedar bahawa Syaitan mempunyai 1001 helah dalam menyesatkan dan membawa kita ke kancah kemungkaran ini.




Adakah kita seorang yang teguh imannya? Sudah tentu tidak. Tiada sesiapa yang teguh imannya seperti Rasulullah SAW dan juga para sahabat Baginda. Jadi tidak mustahil jika kita juga akan hanyut dibuai khayalan cinta murahan ini. Renungilah kata-kata daripada tokoh ilmuwan Islam ini, “Cinta yang lazimnya ditujukan kepada pemuasan hawa nafsu belaka, sebenarnya ialah cinta yang diilhamkan Tuhan untuk binatang.” (al-Farabi)




Cinta yang HAKIKI ialah cinta itu dibawa menuju Allah SWT semata-mata dan demi mengharapkan keredhaanNya sahaja. Tiadanya istilah COUPLE dan tiadanya istilah cinta sebelum kahwin kerana cinta selepas kahwin itulah yang terbaik dan diredhai oleh Allah SWT. Seperti cinta Muhammad Ibn Abdullah dan juga Saidatina Khadijah bt Khuwailid yang mana mereka membawa bahtera cinta ini ke jalan Ilahi dan akhirnya cinta itu diredhai oleh Allah SWT.




Kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam budaya COUPLE ini, seeloknya berhenti dan keluarlah daripada kepompong maksiat yang membelenggu kehidupan anda kerana tiada keberkatan dalam kemaksiatan. Andai anda benar mencintai dirinya maka binalah suatu mahligai cinta yang berlandaskan syariat dengan berkahwin dan jadikan dirinya sebagai isteri ataupun suami kerana hanya cinta yang diredhai Allah SWT sahaja akan membawa kebahagiaan di dunia dan juga akhirat. Andai diri terasa belum mampu untuk berkahwin maka bersabar dan berpuasalah demi mengekang hawa nafsu yang bergelojak dalam diri. Dan selalulah memohon daripada Allah SWT agar diberikan hidayah dan rahmat kepada kita dalam membina mahligai cinta yang ABADI.




Akhirul kalam untuk kali ini, renungilah kata-kata ahli sufi ini, “Cintailah yang memberi nikmat dan jangan engkau cintai nikmat yang diberikan.”

Jangan ditagihkan cinta manusia,
Kelak jiwa akan merana,
Tetapi tagihkan cinta Ilahi,
Kelak selamat duniawi dan ukhrawi.


Indahnya cinta jika dibina atas landasan Islam,
Indahnya cinta jika disemai dengan kemanisan Iman,
Indahnya cinta jika dituju kepada Pencipta.




“Cinta itu ibarat permata yang indah dan sukar dicari, ianya memerlukan mujahadah dalam mengggapai mahligai cinta yang abadi.”






"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam" "Esok Lebih Baik Dari Hari Ini" "InsyaAllah"