Disini Bermula Segalanya..

Disini Bermula Segalanya..

Friday, September 30, 2011

0
Komen

Haramkah Menonton Wayang?

Ada rakan saya berkata kepada saya bahawa hukum menonton wayang di pawagam adalah haram kerana banyak kemungkaran di dalamnya. Adakah ini benar? Selain itu , adakah berkaraoke di tempat karaoke juga haram? Harap ustaz dapat membantu dalam hal ini.

- Nafiz

Assalamualaikum Warahmatullah.

Adapun hukum menonton wayang atau menonton televisyen itu pada asalnya adalah harus/dibolehkan. Namun padanya kemungkinan di sana terdapat perkara-perkara yang menyalahi syariat (seperti pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, filem yang ditayangkan terdapat unsur-unsur seks dan seumpamanya) menyebabkan ia boleh terjatuh pada bahagian haram (li qoiri) kerana ada unsur-unsur lain padanya.

Oleh itu, jikalau menonton wayang tanpa ada perkara-perkara yang menyalahi syariat Islam maka ia adalah diharuskan. Tetapi jika terdapat perkara-perkara yang menyalahi syariat maka ia tidak dibolehkan.

Begitu jugalah dengan karaoke. Adakah lagu yang didendangkan itu menyalahi syarak? Adakah berlaku pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Adakah dengan karaoke itu akan menyebabkan seseorang itu meninggalkan solat? Jika jawapan kepada persoalan-persoalan ini semuanya tidak menyalahi syarak, maka tiada masalah untuk berkaraoke.

Walaubagaimanapun, pilihan paling bijak ialah dengan meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia atau tidak mendatangkan manfaat. Banyak lagi perkara yang boleh dilakukan dan dapat pula memdatangkan manfaat kepada diri dan orang lain.

Wallahualam.

- Ustaz Muhammad Rashidi Bin Haji Wahab


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"
1
Komen

Haram Rebonding?

Assalammualaikum Ustaz.

Saya keliru dengan hukum yang menyatakan bahawa menggunakan teknik rebonding pada rambut adalah haram hukumnya. Saya telah melakukanya tetapi pada waktu tersebut saya tidak mengetahui tentang hukumnya. Adakah saya berdosa kerana telah melakukannya?

Dan betulkah hukum melakukannya adalah haram di sisi agama Islam?

- Nurul

Wa'alaikumsalam Warahmatullah.

Para ulama telah berselisih pendapat dalam menentukan hukum sebenar bagi teknik rebonding ini sama ada untuk meluruskan rambut atau mengkerintingkannya. Ini kerana tidak terdapat dalil yang khusus melarang atau mengharuskan perkara ini secara jelas. Dalil-dalil yang digunakan oleh kedua-dua pihak lebih bersifat umum sahaja. Disebabkan itulah berlaku perselisihan di kalangan ulama kepada dua pandangan iaitu mengharamkan dan mengharuskan.

Namun secara peribadinya saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa harus pada sesetengah keadaan bagi seseorang perempuan itu membuat teknik rebonding di atas sebab-sebab tertentu. Lebih-lebih lagi jika isteri membuat teknik ini semata-mata untuk memperagakan di hadapan suaminya sahaja. Begitulah kesimpulan daripada pandangan Imam Nawawi di dalam kitabnya Raudah al-Tolibin dan pendapat Imam Ramli di dalam kitabnya Nihayah al-Mujtahid.

Selain itu, perkara yang perlu diteliti juga berkaitan dengan teknik rebonding ini ialah:

1. Apakah niat dan tujuan rebonding?
2. Bahan apakah yang digunakan untuk rebonding?
3. Siapakah yang melakukan rebonding?
4. Untuk siapakah rebonding itu diperagakan?
5. Apakah kesan rebonding?

Sekadar peringatan: Syukurilah nikmat Allah SWT yang sedia ada. Allah Taala tidak akan menzalimi hambaNya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
Sesiapa yang memiliki rambut hendaklah dia muliakannya.
(Riwayat Abu Daud).

Wallahualam.

- Ustaz Rashidi Haji Wahab


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"

Tuesday, September 6, 2011

1
Komen

. : Selamat Hari Jadi Ustaz! : .

assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

alhamdulillah..bersyukur kepada Allah kerana masih diberi kesempatan untuk bertemu dalam laman blog RAPI pada kali ini..semoga kita semua berada di dalam rahmat Allah dan sentiasa dilindungi Allah swt..


Alhamdulillah..semalam ahli Majlis Terttinggi RAPI menyambut hari lahir penasihatnya..iaitu Ustaz Mior Iskandar Mior Azizan yang ke-28 (menurut beliau semalam bila ditanya hari lahir ke berapa..kalo salah.maaf ye ustaz.. ^_^)


Kami mengucapkan selamat hari lahir kepada Ustaz kesayangan ahli Majlis Tertinggi RAPI..semoga dipanjangkan umur ,dimurahkan rezeki..dan sentiaaa istiqamah dalam memperjuangkan Islam dan melaksanakan gerak kerja dakwah dengan konsisten..Kami ingin mengucapkan ribuan dan jutaan terima kasih kepada al-Fadhil ustaz atas didikan dan tunjuk ajar kepada kami dalam menjalankan gerak kerja kami..


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"

Friday, July 15, 2011

0
Komen

Rindunya..

Ramadan kini tiba. Hati mukmin tidak sabar lagi untuk mengambil peluang semaksima mungkin dibulan yang berkat ini demi mendapatkan bekalan iman dan meningkatkan diri. Dihujung Syaaban, Rasulullah saw berkhutbah mengingatkan para Sahabat ra tentang Ramadan. Di sini saya mengambil kesempatan mengingatkan diri saya dan kita sekelian berkenaan Ramadan dan persiapan untuk memasukkinya.

Kita memasuki bulan berkat dimana pahala dilipatkali gandakan bagi mereka yang mengharap ganjaran dan keredhaan Allah swt. Dengan ini hamba-hambaNya semakin bertaqarrub kepadaNya dan lebih berpeluang memasuki Syurga yang disediakan Allah swt. Dari Qutaibah, dari Ismail bin Jaafar dari Abi Suhail, dari ayahnya dari Abu Hurairah ra. sabda Rasulullah saw bermaksud, "Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu-pintu Syurga" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Dengan berpuasa, kita menahan diri dari makan, minum, hubungan suami isteri, menjaga lidah, pemandangan dan hati hanya semata-mata kerana Allah. Oleh itu Allah sendiri yang akan membalasnya. Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Sesiapa yang mendirikan (solat dan ibadah) di malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Didalam Ramadan, kita melipatgandakan ibadah solat kita, dan lebih membiasakan diri kita mendampingi surau, masjid dan para jemaah didalamnya yang beriman. Sabda Rasulullah saw berkenaan Ramadan bermaksud, "Sesiapa yang mendirikan (solat Tarawih) di bulan Ramadan, dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan untuknya akan kesalahan yang telah dikerjakannya" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Ramadan mengajar kita erti persaudaraan dan kesatuan umat Islam. Dari Ibnu Syahab, dari Urwah bin Az-Zubair, dari Abdul Rahman bin Abdul Al-Qari' berkata: Aku keluar bersama Umar Al-Khattab ra pada suatu malam Ramadan ke masjid dan mendapati orang ramai bersolat sendiri-sendiri dan berselerakan. Ada yang bersolat sendirian. Ada yang bersolat diikuti beberapa orang. Umar ra berkata bermaksud, "Aku lihat jika dikumpulkan mereka dibawah seorang imam, itu adalah lebih baik". Kemudian beliau melaksanakannya dan mengumpulkan orang ramai (bersolat) diimami oleh Ubay bin Kaab ra. Pada suatu malam yang berikutnya, aku pergi bersamanya ke masjid dan melihat orang ramai bersolat di belakang seorang imam mereka. Umar ra berkata, "Alangkah baiknya bid'ah ini"... (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Ramadan adalah bulan Al-Quran dimana Al-Quran diturunkan Allah swt pada bulan tersebut. Jibril menyemak bacaan dan hafazan Al-Quran Nabi saw dijuga dibulan ini. Oleh itu kita jadikanlah bulan ini bulan yang lebih meriah bagi kita bersama Al-Quran, dengan membacanya dan melaksanakan ajaran-ajaran yang terkandung didalamnya. Ramadan adalah bulan bersedeqah, berkasih sayang sesama umat Islam dan makhluk Allah swt. Kita perbanyakkanlah bersedekah dan menjamu orang lain. Ibnu Abbas ra berkata bermaksud, "Adalah Nabi saw orang yang paling pemurah dengan kebaikan. Dia saw. lebih pemurah lagi di dalam bulan Ramadan apabila didatangi oleh malaikat Jibril. adalah Jibril bertemu Nabi saw tiap malam di bulan Ramadan sehingga pagi dan mengemukakan Al-Quran kepada Nabi saw. Apabila Nabi saw bertemu Jibril, Baginda saw menjadi lebih pemurah dari angin yang bertiup" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

"Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadr. tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dalam tiap urusan. Sejahtera malam tersebut hingga terbit fajar" (Al-Quran).

Mukmin dan mukminah sentiasa mengejar peluang yang disediakan Allah swt untuk hamba-hambaNya. Ini termasuklah ganjaran berlipatkali ganda Malam Lailatul Qadar dimana ia lebih baik dari 1000 bulan (83 tahun). Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Dapatkanlah (dengan tekunlah beribadat) pada malam Lailatul Qadar pada Sepuluh Malam Terakhir dibulan Ramadan" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari). Dalam riwayat Al-Bukhari yang lain bermaksud, "Dapatkanlah (dengan tekunlah beribadat) pada malam Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil di Sepuluh Malam Terakhir dibulan Ramadan".

Ramadan adalah bulan Iktikaf, iaitu berada di masjid untuk memberi tumpuan sepenuhnya beribadah khusus kepada Allah swt. Iktikaf membersihkan hati dan akhlak kita, kerana kita berdamping dengan rumah Allah swt dan dapat tenang memuhasabah dan menilai diri kita yang sering alpa dan tergoda. Dari Urwah bin Az-Zubair ra dari Aisyah ra berkata bermaksud, "Sesungguhnya Nabi saw beriktikaf pada Sepuluh Malam Terakhir di bulan Ramadan sehingga Baginda saw diwafatkan Allah. Selepas kewafatannya, isteri-isterinya pula beriktikaf" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Ramadan adalah bulan Jihad dan Kemenangan. Di dalam bulan ini orang-orang beriman mencapai kemuncak ikhlas dan taqwa, kedua-duanya adalah resepi kemenangan dalam Jihad. Di dalam Ramadan orang-orang beriman memenangi Perang Badar (Tahun 2H), Perang Pembukaan Mekah (Tahun 8H) dan Perang Ain Jalut mengalahkan tentara Monggul.

Semoga Ramadan pada tahun ini merupakan Ramadan yang terbaik buat kita, berjaya kita lalui sepenuhnya dan mendapat rahmah (belas kasih Allah swt), maghfirah (keampunanNya) dan itqum minannar (selamat dari api Neraka). Ya Allah terimalah puasa, solat Tarawih, qiyamullail dan iktikaf kami dibulan yang mulia ini. Ya Allah, terimalah ibadah dan taqarrub (usaha mendekatkan hati dan diri) kami kepadaMu.

Ya Allah, jadikanlah kami diakhir Ramadan dikalangan hamba-hambaMu yang bertaqwa seperti firmanMu bermaksud, "Wahai orang-orang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa..." (Surah Al-Baqarah). Ameen.

قُلۡ شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 185)


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"

Wednesday, July 13, 2011

0
Komen

Cinta Islamik?

Memang sudah menjadi naluri remaja untuk bercinta dan dicintai. Sudah menjadi kebiasaan mereka apabila mereka yang dilamun cinta ini menjadikan agama sebagai landasan bagi menghalalkan percintaan sebelum perkahwinan yang sudah terang-terangan haram dalam Islam. Antara ayat-ayat yang kerap mereka ucapkan seandainya berbicara tentang cinta adalah:

'ala..aku couple dengan dia sebab nak tolong dia berubah..'

'saya cintakan awak kerana Allah..'

'Kita couple tapi bukan buat maksiat pun..'

Firman Allah S.W.T:

"Dan janganlah kalian mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk." (Al-Israa': 32)

Allah menurunkan ayat ini kerana iman manusia ada turun naik nya, mungkin hari ini iman kita setebal tembok batu tapi mungkin keesokannya iman kita menjadi lebih nipis daripada kulit bawang. Bagaimana kita bisa menjamin kekuatan iman kita sedangkan kita mendekati zina? Bercinta atau lebih tepat ber'couple' sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah adalah landasan utama yang akan mendekatkan diri kita dengan zina. Bermula dengan perasaan sayang yang konon-konon berlandaskan agama, secara automatik perasaan rindu akan terbit. Rindu ini akan membelenggu minda dan menjadikan kita alpa.

'macam mana nak cakap dengan dia ni? Aku sayang dia!'

'kalau minta 'break', nanti dia sanggup tunggu aku ke?'
'

'tak apa kot, kami bukan macam pasangan lain,kami jaga pergaulan walaupun 'couple'

'kita couple ni kan sebab nak berubah sama-sama. Tak salah..'

Sahabat, andai percintaan ini berjaya berakhir dengan pernikahan yang sah sekalipun ia terbina atas dasar maksiat. Kesannya?. Nauzubillah! Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya.

Menolak cinta sebelum adanya pernikahan yang sah tidak bermakna kita perlu beserah 100% tanpa usaha. Usaha yang perlu kita lakukan adalah dengan menjadi hamba Allah yang terbaik dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Sebagaimana janji Allah yang berbunyi, Allah menciptakan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.

Firman Allah di dalam Surah An-Nur:

"dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." (Al-Nur 24 :26)

Iya, untuk sabar dan menolak sesuatu yang telah menjadi 'realiti kehidupan' ini memang pahit, tapi yakinlah bahawa buahnya sangat manis. Insya-Allah! Ayuh! Kita sibukkan diri agar dapat kuatkan diri dan hati. Ayuh! Kita ubah prinsip, andai sebelum ini kita jadikan agama landasan untuk menghalalkan apa yang haram, sekarang kita jadikan agama sebagai landasan menolak untuk mengadakan hubungan percintaan sebelum pernikahan. Ayuh! Kita abadikan doa ajaran Rasulullah ini dalam sujud ;

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa" (Al-Furqan 25:74")

Ingatlah! percintaan selepas adanya ikatan perkahwinan yang sah akan mendapat keberkatan Allah, mawaddah warahmah akan kekal subur dan sentiasa mekar dalam keberkatan.


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"

Tuesday, July 12, 2011

0
Komen

Anak Kecil Yang Takut Api Neraka

Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis.

Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?"

Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Qur'an sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi, "Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum" yang bermaksud, " Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu." Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka."

Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalm api neraka."

Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."

Berkata orang tua itu, sambil menangis, "Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti?"


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"
0
Komen

. : Proses Hati Proses Iman : .


Saya bersama lapan lagi sahibah seusrah duduk menikmati udara malam.

"Saidina Umar dulu, pernah beliau bawa sahabat duduk dalam satu bilik dan bertanya, kalaulah kamu diberi peluang membuat permintaan, apa yang kamu minta?" Saya bersuara. Satu persatu wajah sahibah saya pandang.

"Perabot."
"Keselesaan."
"Ukhwah."

Pelbagai jawapan yang muncul, menggamitkan suasana.

"Betul, semua betul. Mumtaz." Ayat saya berhenti sebentar di situ.

"Tapi... Sahabat menjawab, aku mahu bilik ini dipenuhi dengan emas, supaya aku boleh gunakannya untuk Islam. Saidina Umar berkata lagi, buatlah permintaan! Sahabat pun menjawab, aku mahu bilik ini dipenuhi dengan berlian supaya aku boleh gunakannya untuk Islam, dan sekali lagi Saidina Umar berkata, buatlah permintaan! Sahabat bingung dan membalas, Aku sudah tidak tahu mahu berkata apa lagi wahai Amirul Mukminin, apakah permintaanmu pula?"

Wajah semua sahibah saya tatap. "Agak-agak antum Saidina Umar nak apa?"

Semua diam, menanti bicara saya selanjutnya.

"Saidina Umar pun berkata, aku mahu bilik ini dipenuhi oleh manusia yang seperti Abu Ubaydah dan Muaz bin Jabal supaya aku boleh menghantar mereka untuk Jihad!"

Sahibah senyum, mengerti makna yang tersirat.

Sumber manusia adalah lebih penting dari kebendaan!

Segala kemaksiatan dan jenayah yang berlaku rata-ratanya berpunca dari permasalahan hati. Hati yang rosak dan hitam, mana mungkin dapat merasai lagi segala dosa yang dilakukan. Sensitiviti yang ada pada hati sedikit demi sedikit hilang dek kebiasaan dosa.

Hati, Ibarat sebuah cermin.

Cermin yang bersih dan bersinar, jika kita lihat ke dalamnya dan tiba-tiba pula ada jerawat baru di wajah kita, kita pasti nampak. Kita bolehlah picit ke, letak T3 ke, :)

Tapi... Jika cermin itu kotor dan berhabuk, kita lihatlah ke dalamnya, ada jerawat 5 biji baru naik pun susah untuk dilihat. Jadi payahlah untuk kita mengesan kekotoran di wajah.

Apabila hati kotor... dosa menjadi biasa, maksiat berleluasa.

Semuanya gara-gara sekeping hati yang sudah bertukar wajahnya. Hitam, kelam, sekelam masa depan yang semakin tenggelam.

Masyarakat yang kucar-kacir, Pemimpin yang pecah amanah, Pelajar yang memberontak sini-sana, Kes bunuh diri. Dan bermacam lagi...

Semua itu berpunca daripada satu perkara : HATI

Kerana itu terdapat satu hadith:

Dalam setiap badan manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah keseluruhannya, jika buruk daging itu maka buruklah keseluruhannya. Itu adalah HATI

Bersihkan Hati

Dosa adalah ibarat racun yang memakan diri, manakala hati pula adalah salah satu perkara yang amat sukar untuk dijaga.

Tsabit bin Qurah berkata : Kerehatan badan adalah dengan kurangnya makan, kerehatan jiwa adalah dengan kurangnya dosa dan kerehatan lidah adalah dengan kurangnya bercakap.

Berilah setiap kerehatan itu kepada diri, moga kelak hati suci kembali. Jika lalai ubatnya adalah dengan menyedari tugas yang Allah beri, Maka ubatlah hati yang penuh dosa dengan bertaubat kepada Ilahi!

Bersihkan hati, bersihkan diri. Ayuh menjadi 'sumber manusia' yang berharga untuk Islam.

Wallahu'alam.


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"

Saturday, May 21, 2011

0
Komen

.:Isteri Solehah:.

Wanita itu disunatkan seorang yang penuh dengan perasaan kasih sayang. Maksudnya, dia mesti selalu menjaga kecintaan terhadap suaminya, sementara si suami pula memiliki kecenderungan dan rasa cinta kepadanya. Selain itu, dia juga mesti berusaha menjaga keredhaan suaminya, mengerjakan apa yang disukai suaminya, memberikan ketenteraman di dalam kehidupan suaminya, dia tidak suka berjauhan daripada diripada suaminya, kalau berjauhan daripada suaminya maka dia akan segera kembali dan mendekati suaminya, dia senang berbincang dengan suaminya, dia memberikan kebahgiaan dan kasih sayang kepada suaminya. Firman Allah :

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya. Dan Dia jadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang." (Ar-Ruum : 21)

Wanita yang penuh rasa cinta dan sayang akan selalu bersolek hanya untuk suaminya, memenuhi keinginan suaminya, dan menyediakan dirinya untuk mengerjakan segala yang dapat membahagiakan suaminya. Sebagaimana wanita dituntut untuk mempunyai cinta dan kasih sayang kepada suaminya, begitu juga lelaki pun perlu memberikan kasih sayang kepada isterinya, kerana cinta dan kasih sayang antara kedua belah pihak akan mendatangkan kesempurnaan hidup, mengabdikan hubungan antara suami isteri, serta memberikan kebahagiaan hidup berumah tangga.

Wanita tidak akan menjaga dan mempertahankan sifat ini kecuali jika dia mempunyai karakter yang baik, berbadan sihat, berkelakuan baik, tumbuh dalam keluarga yang harmoni dan jauh dari kejahatan.

Disunatkan pula agar wanita yang akan dilamar itu seorang yang banyak memberikan keturunan, kerana ketenangan, kebahagian dan keharmonian keluarga akan terwujud dengan lahirnya anak-anak yang menjadi harapan setiap pasangan suami isteri. Anak-anak yang dapat membahagiakan hati mereka dan yang dapat mengembangkan keturunan. Allah SWT berfirman :

"Dan orang-orang yang berkata, 'Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa'." (Al-Furqan: 74)

Sedangkan Nabi Zakaria AS juga pernah berkata melalui firman Allah SWT :

"Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mawaliku sepeninggalku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahkanlah kepadaku dari sisi-Mu seorang putera yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya'qub, dan jadikanlah dia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai." (Maryam : 5-6)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda :

"Berkahwinlah dengan wanita-wanita yang penuh cinta dan yang banyak melahirkan keturunan. Kerana sesungguhnya aku merasa bangga dengan ramainya jumlah kamu pada hari kiamat kelak." (Riwayat oleh Abu Daud, Nasa'i dan al-Hakim)

Hendaklah wanita yang akan dinikahi itu seorang yang masih gadis dan masih muda. Perkara itu sebagaimana yang ditegaskan dalam kitab Sahihain dan juga kitab-kitab lainnya dari hadis Jabir, bahawa Rasulullah SAW pernah bertanya kepadanya : "Apakah kamu menikahi seorang gadis atau janda?" Dia menjawab, "Seorang janda." Lalu baginda bersabda : "Mengapa kamu tidak menikahi seorang gadis yang kamu dapat bercumbu dengannya dan dia pun dapat mencumbuimu?"

Kerana seorang gadis akan menghantarkan kepada tujuan pernikahan. Selain itu seorang gadis juga akan lebih menggembirakan dan membahagiakan suaminya, lebih menarik untuk dinikmati akan berprilaku lebih menggembirakan, lebih indah dan lebih menarik untuk dipandang, lebih lembut untuk disentuh dan lebih mudah bagi suaminya untuk membentuk dan membimbing akhlaknya. Rasulullah SAW sendiri telah bersabda,

"Hendaklah kamu menikahi wanita-wanita muda, kerana mereka mempunyai mulut yang lebih segar, mempunyai rahim yang lebih subur dan mempunyai cumbuan yang lebih menghangatkan." (Riwayat asy-Syirazi)

Dari Ibnu Mas'ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

"Nikahilah para gadis, kerana mereka mempunyai mulut yang lebih jernih, mempunyai rahim yang lebih subur, dan lebih redha terhadap sesuatu yang sedikit." (Riwayat oleh Tabrani)

Dianjurkan untuk tidak menikahi wanita yang masih termasuk keluarga dekat, kerana Imam Syafi'i pernah mengatakan : "Jika seseorang menikahi wanita daripada kalangan ahli keluarganya sendiri, maka kemungkinan besar anaknya mempunyai daya fikir yang lemah."

Dalam ilmu dan teknologi ditetapkan bahawa di antara sebab musnahnya etnik adalah pembatasan hubungan (perkahwinan) dalam satu kelompok saja, kerana perkara itu dapat mengakibatkan rosaknya silsilah dan lemahnya keturunan.

Disunatkan bagi seorang muslim untuk mengahwini wanita yang mempunyai silsilah keturunan yang jelas dan terhormat, kerana perkara itu akan berpengaruh pada dirinya dan juga anak keturunannya. Berkenaan dengan perkara tersebut, Rasulullah SAW bersabda :

"Wanita itu dinikahi kerana empat hal: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya kamu beruntung." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hendaklah wanita yang akan dikahwini itu taat beragama dan berakhlak mulia. Kerana ketaatan menjalankan agama dan akhlaknya yang mulia akan menjadikan-nya pembantu bagi suaminya dalam menjalankan agamanya, sekali gus akan menjadi pendidik yang baik anak-anaknya, akan dapat bergaul dengan keluarga suaminya dengan baik. Selain itu, dia juga akan sentiasa mentaati suaminya jika dia suruh melakukan sesuatu yang baik, redha dan lapang dada jika suaminya memberi, serta menggembirakan suaminya, jika suaminya berhubungan atau melihatnya. Dia juga akan selalu menjaga dirinya dan harta suaminya jika suaminya tiada di rumah, serta tidak akan mengabaikan maruah suaminya. Wanita yang demikian adalah seperti yang difirmankan oleh Allah SWT :

"Sebab itu, maka wanita-wanita yang soleh adalah yang taat kepada Allah lagi menjaga diri ketika suaminya tidak berada di tempat, oleh kerana Allah telah menjaga mereka." (An-Nisa: 34)

Sedangkan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda :

"Dunia ini adalah kenikmatan, dan sebaik-baik kenikmatannya adalah wanita solehah." (Riwayat Muslim, Nasa'i dan Ibnu Majah)

Selain itu, hendaklah wanita yang akan dinikahi adalah seorang yang cantik, kerana kecantikan akan menjadi dambaan setiap insan dan selalu diinginkan oleh setiap orang yang akan dikahwini. Kecantikan itu pula yang akan membantu menjaga kesucian dan kehormatan. Perkara itu telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadis mengenai perkara-perkara yang disukai dari kaum wanita.

Kecantikan itu bersifat relatif. Setiap orang mempunyai gambaran tersendiri mengenai kecantikan ini sesuai dengan selera dan keinginannya. Sebahagian orang ada yang melihat bahawa kecantikan itu terletak pada wanita yang pendek, sementara sebahagian lainnya memandang ada pada wanita yang tinggi lampai. Sedangkan sebahagian lainnya memandang kecantikan terletak pada warna kulit, baik coklat, putih, kuning dan seterusnya. Sebahagian lainnya memandang bahawa kecantikan itu terletak pada keindahan suara dan ucapannya. Demikianlah, yang jelas disunatkan bagi setiap orang untuk mengahwini wanita yang dianggap cantik sehingga dia tidak tertarik dan tergoda pada wanita lain. Maka tercapailah tujuan perkahwinan, iaitu kesucian dan kehormatan bagi tiap-tiap pasangan.



"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"

Wednesday, May 4, 2011

0
Komen

.:Aurat:.

 Assalamualaikum....

 AURAT. Apa definisinya pada kalian?

“Ala, pakai tudung dah kira tutup aurat la tu…”

Pakai tudung dan berbaju t-shirt, sudah sempurna tuntutan menutup aurat kalian? Tudung pendek menampakkan dada itu menutup aurat pada kalian? Baju jarang dan sempit itu menutup aurat. Itu tidak di sentuh hal seluar lagi. Aduh, makin sakit mata makcik-makcik yang memandang melihat gaya seluar yang menjelikkan kini. Untuk apa berbaju jika sudah tahu di mana tanda lahirnya. Untuk apa berseluar jika mahu diberitahu saiz pinggangnya. Untuk apa berbaju dan berseluar jika boleh diteka apa yang ditutupinya.

Mungkin pada kalian menutup aurat adalah menutupi keaiban kalian. Tapi pada kami, menutup aurat adalah menutup bahagian-bahagian terindah pada kami. Yang kami tutup bukanlah rabut rosak yang penuh dengan kelimumur. Yang kami tutup bukan juga parut-parut luka jatuh pokok di waktu nakal dahulu. Yang kami tutup adalah kecantikan yang kami jaga rapi untuk kalian yang berhak menatapnya. Kami jadikan kalian yang pertama melihatnya, bukan yang ke 25 ataupun yang terakhir setelah puas orang laian menatapnya. Amanah ini kami jaga kerna pada kecantikan-kecantikan ini juga terletak maruah kami, maruah ibubapa kami, dan yang paling utama maruah agama kami. Kami tidak mahu kalian terkeliru dan tertipu dengan identiti kami. Kami muslimah bukan Harajuku girl, mahupun gadis barat berkulit sawo matang tapi berambut blonde.

Isu tudung dan aurat ini tidak pernah akan menjadi isu basi kerna ianya perlu diingatkan selalu. Apa yang kami perlihatkan pada kalian mungkin pada kalian adalah kehodohan semata, tapi kami peduli apa, kami tak ingin cantik di mata kalian, tapi kami mahu cantik di mata ALLAH;KEKASIH awal dan akhir kami…

Kita manusia mudah lupa walaupun sering diberi peringatan. Muslimah perlu sedar, tugas kalian amatlah besar kerna guru-guru pendidik bangsa, pemimpin-pemimpin negara, pejuang-pejuang Islam, semuanya akan lahir dari kalian . Andai kalian rosak, adakah bakal yang lahir dari perut kalian akan elok? Benar, semuanya adalah ketentuan Allah, dan iman juga tidak boleh diwarisi, tetapi prevention is better than cure kan…? Cuba elak sejauh mungkin, berusaha menjadi yang terbaik,seterusnya baru diserahkan pada sebaik-baik perancang.




"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"

Thursday, April 14, 2011

0
Komen

::Jom Ke Pesta Buku::

Jangan lepas kan peluang untuk ke pesta buku 2011 di PWTC ANA menyeru kepada semua ahli RAPI khasnya dan kepada penuntu PSAS amnya.. pakat-pakat memeriahkan pesta buku yang akan datang tinggal berapa hari ja lagi. Antum boleh dapatkan sedikit diskaun dengan mengisi borang yang telah disediakan oleh pihak PTS kat sini klik.


Untuk malumat lanjut boleh klik sini  klik

Ok itu ja ANA nak kongsi dengan semua walaupun tak ramai yang melawat blog ni huhuhu.. tapi kena gak update nanti bersasang habis.... 






"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam" 
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini" 
"InsyaAllah"

Monday, April 4, 2011

0
Komen

::Pesanan Allah Kepada Nabi Musa A.S::

Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan kepada sanadnya dari Jabir bin Abdillah r.a. berkata Rasulullah S.A.W bersabda : "Allah S.W.T. telah memberikan kepada Nabi Musa bin Imran a.s. dalam alwaah 10 bab :

• Wahai Musa jangan menyekutukan aku dengan suatu apa pun bahawa aku telah memutuskan bahawa api neraka akan menyambar muka orang-orang musyrikin.
• Taatlah kepada-Ku dan kedua orang tuamu nescaya Aku peliharamu dari sebarang bahaya dan akan Aku lanjutkan umurmu dan Aku hidupkan kamu dengan penghidupan yang baik.
• Jangan sekali-kali membunuh jiwa yang Aku haramkan kecuali dengan hak nescaya akan menjadi sempit bagimu dunia yang luas dan langit dengan semua penjurunya dan akan kembali engkau dengan murka-Ku ke dalam api neraka.

• Jangan sekali-kali sumpah dengan nama-Ku dalam dusta atau durhaka sebab Aku tidak akan membersihkan orang yang tidak mensucikan Aku dan tidak mengagung-agungkan nama-Ku.
• Jangan hasad dengki dan irihati terhadap apa yang Aku berikan kepada orang-orang, sebab penghasut itu musuh nikmat-Ku, menolak kehendak-Ku, membenci kepada pembahagian yang Aku berikan kepada hamba-hamba-Ku dan sesiapa yang tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka bukan daripada-Ku.

• Jangan menjadi saksi terhadap apa yang tidak engkau ketahui dengan benar-benar dan engkau ingati dengan akalmu dan perasaanmu sebab Aku menuntut saksi-saksi itu dengan teliti atas persaksian mereka.
• Jangan mencuri dan jangan berzina isteri jiran tetanggamu sebab nescaya Aku tutup wajah-Ku daripadamu dan Aku tutup pintu-pintu langit daripadanya.
• Jangan menyembelih korban untuk selain dari-Ku sebab Aku tidak menerima korban kecuali yang disebut nama-Ku dan ikhlas untuk-Ku.

• Cintailah terhadap sesama manusia sebagaimana yang engkau suka terhadap dirimu sendiri.
• Jadikan hari Sabtu itu hari untuk beribadat kepada-Ku dan hiburkan anak keluargamu. Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda lagi : "Sesungguhnya Allah S.W.T menjadikan hari Sabtu itu hari raya untuk Nabi Musa a.s. dan Allah S.W.T memilih hari Juma'at sebagai hari raya untukku."



"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"

"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"

"InsyaAllah"

Sunday, January 23, 2011

2
Komen

.:Amad dan Atuk:.




Seorang petani tua tinggal bersama cucunya di sebuah kawasan pedalaman. Rutin sesudah subuh sebelum bertani, Si Atuk akan membaca al-Quran di pangkin. Amad, cucu Si Atuk sentiasa memerhatikan gelagat atuknya, dan berusaha untuk merutinkan bacaannya seperti atuk.

Suatu hari Amad bertanya, "Atuk, Amad cuba untuk baca al-Quran setiap hari macam Atuk, tapi Amad selalu tidak faham. Bila faham sekali pun, Amad tetap akan lupa bila Amad tutup al-Quran. Apa ya kebaikan baca al-Quran, Atuk?"

Si Atuk menutup al-Quran dan tersenyum, faham benar dengan pertanyaan cucu tunggalnya itu. Tidak menjawab soalan Amad, sebaliknya Atuk menyuruh Amad berbuat sesuatu, "Amad ambil bakul arang di dapur. Pergi ke sungai dan bawa balik sebakul air untuk Atuk."

Amad hanya menurut, pergi ke sungai, mengisi air ke dalam bakul, dan berjalan balik ke rumah. Sebelum sampai ke rumah, air terkeluar melalui lubang-lubang bakul yang dibuat daripada rotan. Amad berpatah balik ke sungai sekali lagi.

Dari jauh Si Atuk memerhatikan gelagat Amad sambil tertawa, lalu berteriak, "Amad perlu bergerak lebih laju, supaya sempat sampai di rumah!"

Kali ini Amad berlari lebih laju, tetapi hasilnya tetap sama, bakul tetap kosong sebelum sampai ke rumah. Tercungap-cungap keletihan, Amad fikir terlalu mustahil untuk membawa air menggunakan bakul, lalu dia mencapai baldi.

"Atuk tidak mahu air dari baldi, Atuk hanya mahu air dari bakul. Amad belum berusaha dengan bersungguh, Atuk tahu."

Lalu Amad mencapai bakul tadi dan segera ke sungai, dia ingin membuktikan kepada Atuknya yang dia telah berusaha bersungguh-sungguh. Malah semakin cepat Amad berlari, semakin cepat air keluar daripada bakul tersebut.

"Tengok Atuk, tidak berguna bukan? Bakul ini tetap kosong," kata Amad kepada Atuknya, menelan rasa kecewa.

Betulkah tidak berguna?

"Tidak berguna kata Amad? Cuba Amad lihat bakul itu."

Amad melihat bakul di tangannya, dan Amad baru perasan satu perkara, iaitu bakul itu tidak lagi comot dengan kesan arang dan tanah, malah jauh lebih bersih, luar dan dalam.

"Amad, itulah yang berlaku bila kita selalu membaca al-Quran. Kita mungkin tidak faham, atau tidak ingat apa-apa, tetapi yakinlah bila kita membacanya, kita akan berubah, luar dan dalam".

Amad tersenyum lebar dan penuh bahagia, persoalannya kini terjawab.



"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"