Disini Bermula Segalanya..

Disini Bermula Segalanya..

Friday, September 10, 2010

0
Komen

Hayati falsafah Aidilfitri

SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa arab pada masa tersebut.

Apabila baginda Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya tersebut, maka mereka segera menjawab bahawa ia adalah perayaan yang telah diwarisi secara turun temurun dari datuk nenek mereka terdahulu.

Lalu Rasulullah telah menyatakan kepada orang-orang Arab Madinah bahawa Islam telah menggantikan dua hari raya yang mereka raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu hari raya korban atau Aidiladha dan hari raya fitrah atau disebut Aidilfitri.

Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu merupakan satu ibadat.

Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang-orang yang telah dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.

Kemenangan itu bukan saja menang kerana telah berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga kemenangan kerana seseorang yang telah mengerjakan puasa tersebut dengan sendirinya dapat menghalang diri daripada melakukan apa jua perkara yang dilarang di mana sekiranya dilakukan juga maka akan terbatallah puasanya.

Sebab itulah Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan dari kemenangan tersebut. Kalimat ‘fitri’ sendiri bermaksud fitrah, iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal, di mana fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih dari dosa dan noda.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu.

Apabila diumumkan keesokan harinya adalah hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat dengan memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari Qiamat.”

Pada pagi hari raya biasanya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhuwah dengan kunjung-mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai.

Perlu diingat bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya berlebih-lebih atau melampaui batasan dalam menyambut apa saja perayaan.

Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya pada hari raya dengan pakaian yang mahal dan kuih muih yang terlalu banyak.

Pada zaman Rasulullah, telah datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru, kata sahabat itu: “Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat dapat menyambut hari raya Aidilfitri.”

Lalu baginda segera bertanya, “Kenapa wahai saudaraku?”

Lelaki tersebut pun berkata: “Kerana saya tidak ada baju baru.”

Rasulullah kemudiannya bertanya beberapa sahabat yang lain, agar sesiapa yang mempunyai baju yang baru dapat kiranya diberikan kepada lelaki tadi.

Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa saja untuk bergaya dengan baju baru tetapi pengajaran dari kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru untuk dipakai pada hari raya. Lalu, digalakkan sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang yang tidak berupaya.

Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI(http://epondok.wordpress.com/)


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam" "Esok Lebih Baik Dari Hari Ini" "InsyaAllah"

No comments: