Disini Bermula Segalanya..

Disini Bermula Segalanya..

Friday, July 15, 2011

0
Komen

Rindunya..

Ramadan kini tiba. Hati mukmin tidak sabar lagi untuk mengambil peluang semaksima mungkin dibulan yang berkat ini demi mendapatkan bekalan iman dan meningkatkan diri. Dihujung Syaaban, Rasulullah saw berkhutbah mengingatkan para Sahabat ra tentang Ramadan. Di sini saya mengambil kesempatan mengingatkan diri saya dan kita sekelian berkenaan Ramadan dan persiapan untuk memasukkinya.

Kita memasuki bulan berkat dimana pahala dilipatkali gandakan bagi mereka yang mengharap ganjaran dan keredhaan Allah swt. Dengan ini hamba-hambaNya semakin bertaqarrub kepadaNya dan lebih berpeluang memasuki Syurga yang disediakan Allah swt. Dari Qutaibah, dari Ismail bin Jaafar dari Abi Suhail, dari ayahnya dari Abu Hurairah ra. sabda Rasulullah saw bermaksud, "Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu-pintu Syurga" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Dengan berpuasa, kita menahan diri dari makan, minum, hubungan suami isteri, menjaga lidah, pemandangan dan hati hanya semata-mata kerana Allah. Oleh itu Allah sendiri yang akan membalasnya. Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Sesiapa yang mendirikan (solat dan ibadah) di malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Didalam Ramadan, kita melipatgandakan ibadah solat kita, dan lebih membiasakan diri kita mendampingi surau, masjid dan para jemaah didalamnya yang beriman. Sabda Rasulullah saw berkenaan Ramadan bermaksud, "Sesiapa yang mendirikan (solat Tarawih) di bulan Ramadan, dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan untuknya akan kesalahan yang telah dikerjakannya" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Ramadan mengajar kita erti persaudaraan dan kesatuan umat Islam. Dari Ibnu Syahab, dari Urwah bin Az-Zubair, dari Abdul Rahman bin Abdul Al-Qari' berkata: Aku keluar bersama Umar Al-Khattab ra pada suatu malam Ramadan ke masjid dan mendapati orang ramai bersolat sendiri-sendiri dan berselerakan. Ada yang bersolat sendirian. Ada yang bersolat diikuti beberapa orang. Umar ra berkata bermaksud, "Aku lihat jika dikumpulkan mereka dibawah seorang imam, itu adalah lebih baik". Kemudian beliau melaksanakannya dan mengumpulkan orang ramai (bersolat) diimami oleh Ubay bin Kaab ra. Pada suatu malam yang berikutnya, aku pergi bersamanya ke masjid dan melihat orang ramai bersolat di belakang seorang imam mereka. Umar ra berkata, "Alangkah baiknya bid'ah ini"... (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Ramadan adalah bulan Al-Quran dimana Al-Quran diturunkan Allah swt pada bulan tersebut. Jibril menyemak bacaan dan hafazan Al-Quran Nabi saw dijuga dibulan ini. Oleh itu kita jadikanlah bulan ini bulan yang lebih meriah bagi kita bersama Al-Quran, dengan membacanya dan melaksanakan ajaran-ajaran yang terkandung didalamnya. Ramadan adalah bulan bersedeqah, berkasih sayang sesama umat Islam dan makhluk Allah swt. Kita perbanyakkanlah bersedekah dan menjamu orang lain. Ibnu Abbas ra berkata bermaksud, "Adalah Nabi saw orang yang paling pemurah dengan kebaikan. Dia saw. lebih pemurah lagi di dalam bulan Ramadan apabila didatangi oleh malaikat Jibril. adalah Jibril bertemu Nabi saw tiap malam di bulan Ramadan sehingga pagi dan mengemukakan Al-Quran kepada Nabi saw. Apabila Nabi saw bertemu Jibril, Baginda saw menjadi lebih pemurah dari angin yang bertiup" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

"Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadr. tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dalam tiap urusan. Sejahtera malam tersebut hingga terbit fajar" (Al-Quran).

Mukmin dan mukminah sentiasa mengejar peluang yang disediakan Allah swt untuk hamba-hambaNya. Ini termasuklah ganjaran berlipatkali ganda Malam Lailatul Qadar dimana ia lebih baik dari 1000 bulan (83 tahun). Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Dapatkanlah (dengan tekunlah beribadat) pada malam Lailatul Qadar pada Sepuluh Malam Terakhir dibulan Ramadan" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari). Dalam riwayat Al-Bukhari yang lain bermaksud, "Dapatkanlah (dengan tekunlah beribadat) pada malam Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil di Sepuluh Malam Terakhir dibulan Ramadan".

Ramadan adalah bulan Iktikaf, iaitu berada di masjid untuk memberi tumpuan sepenuhnya beribadah khusus kepada Allah swt. Iktikaf membersihkan hati dan akhlak kita, kerana kita berdamping dengan rumah Allah swt dan dapat tenang memuhasabah dan menilai diri kita yang sering alpa dan tergoda. Dari Urwah bin Az-Zubair ra dari Aisyah ra berkata bermaksud, "Sesungguhnya Nabi saw beriktikaf pada Sepuluh Malam Terakhir di bulan Ramadan sehingga Baginda saw diwafatkan Allah. Selepas kewafatannya, isteri-isterinya pula beriktikaf" (Hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Ramadan adalah bulan Jihad dan Kemenangan. Di dalam bulan ini orang-orang beriman mencapai kemuncak ikhlas dan taqwa, kedua-duanya adalah resepi kemenangan dalam Jihad. Di dalam Ramadan orang-orang beriman memenangi Perang Badar (Tahun 2H), Perang Pembukaan Mekah (Tahun 8H) dan Perang Ain Jalut mengalahkan tentara Monggul.

Semoga Ramadan pada tahun ini merupakan Ramadan yang terbaik buat kita, berjaya kita lalui sepenuhnya dan mendapat rahmah (belas kasih Allah swt), maghfirah (keampunanNya) dan itqum minannar (selamat dari api Neraka). Ya Allah terimalah puasa, solat Tarawih, qiyamullail dan iktikaf kami dibulan yang mulia ini. Ya Allah, terimalah ibadah dan taqarrub (usaha mendekatkan hati dan diri) kami kepadaMu.

Ya Allah, jadikanlah kami diakhir Ramadan dikalangan hamba-hambaMu yang bertaqwa seperti firmanMu bermaksud, "Wahai orang-orang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa..." (Surah Al-Baqarah). Ameen.

قُلۡ شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 185)


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"

Wednesday, July 13, 2011

0
Komen

Cinta Islamik?

Memang sudah menjadi naluri remaja untuk bercinta dan dicintai. Sudah menjadi kebiasaan mereka apabila mereka yang dilamun cinta ini menjadikan agama sebagai landasan bagi menghalalkan percintaan sebelum perkahwinan yang sudah terang-terangan haram dalam Islam. Antara ayat-ayat yang kerap mereka ucapkan seandainya berbicara tentang cinta adalah:

'ala..aku couple dengan dia sebab nak tolong dia berubah..'

'saya cintakan awak kerana Allah..'

'Kita couple tapi bukan buat maksiat pun..'

Firman Allah S.W.T:

"Dan janganlah kalian mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk." (Al-Israa': 32)

Allah menurunkan ayat ini kerana iman manusia ada turun naik nya, mungkin hari ini iman kita setebal tembok batu tapi mungkin keesokannya iman kita menjadi lebih nipis daripada kulit bawang. Bagaimana kita bisa menjamin kekuatan iman kita sedangkan kita mendekati zina? Bercinta atau lebih tepat ber'couple' sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah adalah landasan utama yang akan mendekatkan diri kita dengan zina. Bermula dengan perasaan sayang yang konon-konon berlandaskan agama, secara automatik perasaan rindu akan terbit. Rindu ini akan membelenggu minda dan menjadikan kita alpa.

'macam mana nak cakap dengan dia ni? Aku sayang dia!'

'kalau minta 'break', nanti dia sanggup tunggu aku ke?'
'

'tak apa kot, kami bukan macam pasangan lain,kami jaga pergaulan walaupun 'couple'

'kita couple ni kan sebab nak berubah sama-sama. Tak salah..'

Sahabat, andai percintaan ini berjaya berakhir dengan pernikahan yang sah sekalipun ia terbina atas dasar maksiat. Kesannya?. Nauzubillah! Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya.

Menolak cinta sebelum adanya pernikahan yang sah tidak bermakna kita perlu beserah 100% tanpa usaha. Usaha yang perlu kita lakukan adalah dengan menjadi hamba Allah yang terbaik dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Sebagaimana janji Allah yang berbunyi, Allah menciptakan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.

Firman Allah di dalam Surah An-Nur:

"dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." (Al-Nur 24 :26)

Iya, untuk sabar dan menolak sesuatu yang telah menjadi 'realiti kehidupan' ini memang pahit, tapi yakinlah bahawa buahnya sangat manis. Insya-Allah! Ayuh! Kita sibukkan diri agar dapat kuatkan diri dan hati. Ayuh! Kita ubah prinsip, andai sebelum ini kita jadikan agama landasan untuk menghalalkan apa yang haram, sekarang kita jadikan agama sebagai landasan menolak untuk mengadakan hubungan percintaan sebelum pernikahan. Ayuh! Kita abadikan doa ajaran Rasulullah ini dalam sujud ;

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa" (Al-Furqan 25:74")

Ingatlah! percintaan selepas adanya ikatan perkahwinan yang sah akan mendapat keberkatan Allah, mawaddah warahmah akan kekal subur dan sentiasa mekar dalam keberkatan.


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"

Tuesday, July 12, 2011

0
Komen

Anak Kecil Yang Takut Api Neraka

Dalam sebuah riwayat menyatakan bahawa ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis.

Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?"

Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Qur'an sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi, "Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum" yang bermaksud, " Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu." Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka."

Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalm api neraka."

Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."

Berkata orang tua itu, sambil menangis, "Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti?"


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"
0
Komen

. : Proses Hati Proses Iman : .


Saya bersama lapan lagi sahibah seusrah duduk menikmati udara malam.

"Saidina Umar dulu, pernah beliau bawa sahabat duduk dalam satu bilik dan bertanya, kalaulah kamu diberi peluang membuat permintaan, apa yang kamu minta?" Saya bersuara. Satu persatu wajah sahibah saya pandang.

"Perabot."
"Keselesaan."
"Ukhwah."

Pelbagai jawapan yang muncul, menggamitkan suasana.

"Betul, semua betul. Mumtaz." Ayat saya berhenti sebentar di situ.

"Tapi... Sahabat menjawab, aku mahu bilik ini dipenuhi dengan emas, supaya aku boleh gunakannya untuk Islam. Saidina Umar berkata lagi, buatlah permintaan! Sahabat pun menjawab, aku mahu bilik ini dipenuhi dengan berlian supaya aku boleh gunakannya untuk Islam, dan sekali lagi Saidina Umar berkata, buatlah permintaan! Sahabat bingung dan membalas, Aku sudah tidak tahu mahu berkata apa lagi wahai Amirul Mukminin, apakah permintaanmu pula?"

Wajah semua sahibah saya tatap. "Agak-agak antum Saidina Umar nak apa?"

Semua diam, menanti bicara saya selanjutnya.

"Saidina Umar pun berkata, aku mahu bilik ini dipenuhi oleh manusia yang seperti Abu Ubaydah dan Muaz bin Jabal supaya aku boleh menghantar mereka untuk Jihad!"

Sahibah senyum, mengerti makna yang tersirat.

Sumber manusia adalah lebih penting dari kebendaan!

Segala kemaksiatan dan jenayah yang berlaku rata-ratanya berpunca dari permasalahan hati. Hati yang rosak dan hitam, mana mungkin dapat merasai lagi segala dosa yang dilakukan. Sensitiviti yang ada pada hati sedikit demi sedikit hilang dek kebiasaan dosa.

Hati, Ibarat sebuah cermin.

Cermin yang bersih dan bersinar, jika kita lihat ke dalamnya dan tiba-tiba pula ada jerawat baru di wajah kita, kita pasti nampak. Kita bolehlah picit ke, letak T3 ke, :)

Tapi... Jika cermin itu kotor dan berhabuk, kita lihatlah ke dalamnya, ada jerawat 5 biji baru naik pun susah untuk dilihat. Jadi payahlah untuk kita mengesan kekotoran di wajah.

Apabila hati kotor... dosa menjadi biasa, maksiat berleluasa.

Semuanya gara-gara sekeping hati yang sudah bertukar wajahnya. Hitam, kelam, sekelam masa depan yang semakin tenggelam.

Masyarakat yang kucar-kacir, Pemimpin yang pecah amanah, Pelajar yang memberontak sini-sana, Kes bunuh diri. Dan bermacam lagi...

Semua itu berpunca daripada satu perkara : HATI

Kerana itu terdapat satu hadith:

Dalam setiap badan manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah keseluruhannya, jika buruk daging itu maka buruklah keseluruhannya. Itu adalah HATI

Bersihkan Hati

Dosa adalah ibarat racun yang memakan diri, manakala hati pula adalah salah satu perkara yang amat sukar untuk dijaga.

Tsabit bin Qurah berkata : Kerehatan badan adalah dengan kurangnya makan, kerehatan jiwa adalah dengan kurangnya dosa dan kerehatan lidah adalah dengan kurangnya bercakap.

Berilah setiap kerehatan itu kepada diri, moga kelak hati suci kembali. Jika lalai ubatnya adalah dengan menyedari tugas yang Allah beri, Maka ubatlah hati yang penuh dosa dengan bertaubat kepada Ilahi!

Bersihkan hati, bersihkan diri. Ayuh menjadi 'sumber manusia' yang berharga untuk Islam.

Wallahu'alam.


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"