Disini Bermula Segalanya..

Disini Bermula Segalanya..

Friday, August 27, 2010

0
Komen

.:Nuzul al-Quran::


Hubungan Nuzul Quran, Lailatul Qadar
Abdullah Azzam al-Qumi
Bulan Ramadan dipilih Tuhan sebagai bulan untuk kita berpuasa atas beberapa perkara. Antara perkara yang paling besar, ialah sejarah turunnya al-Quran pada suatu malam dalam bulan Ramadan.

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah..." (maksud Al-Baqarah: 185)

Sebab itu juga kita digalakkan membaca, tadarus al-Quran pada bulan Ramadan sebagai suatu cara menghormati al-Quran memandangkan bulan Ramadan ini telah dipilih sebagai bulan di mana kitab suciNya diturunkan.

[Sebenarnya, kita juga digalakkan bertadarus pada luar bulan Ramadan juga. Tapi pada bulan ini kita makin digalakkan berbuat demikian, apatah lagi, bulan Ramadan itu dikenang sebagai bulan turunnya al-Quran.]

Manakala dalam bulan Ramadan itu juga ada suatu peruntukan malam yang mulia. Malam itu menjadi mulia dengan sebab hadirnya malam Lailatul Qadar di mana kemuliaannya terkait langsung dengan sebab kejadian kisah turunnya al-Quran pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Qadar, maksudnya:

[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar.

[2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu?

[3] Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

[4] Pada malam itu, turun malaikat dan ruh dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

[5] Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbitnya fajar!"

Pada ayat pertama, disebutkan dengan jelas bahawa al-Quran itu telah diturunkan pada malam Lailatul Qadar dan sudah tentulah hal ini berlaku dalam bulan Ramadan kerana jumhur ulama menyifatkan demikian.

(Sesetengah sufi besar seperti Ibnu 'Arabi lewat kitab agungnya Futuhat Makkiyyah mendakwa Lailatul Qadar juga pernah turun pada bulan Rabiul Awwal, Rabiul Akhir dan lain-lain bulan di luar Ramadan. Wallahu'alam.)

Ini kerana, ayat pertama di dalam surah al-Qadar ini ada kaitan dan kesinambungannya dengan ayat 185 al-Baqarah yang menyebutkan bahawa al-Quran itu memang diturunkan pada malam bulan Ramadan.

Nabi Musa a.s bermunajat, berpuasa menunggu turunnya Taurat

Seperti yang termaklum, hubungan Nabi Muhammad s.a.w dengan Nabi Musa a.s itu amat erat. Seperti mana cara al-Quran diturunkan kepada umat Muhammad, maka dengan cara yang sama jugalah kejadian itu berlaku ke atas umat Musa a.s, iaitu Bani Israel.

Suatu zaman yang lalu, Nabi Musa a.s pernah bermunajat selamat 40 hari, 40 malam di atas bukit. Baginda juga berpuasa dalam tempoh turunnya 10 Rukun atau Ten Commandments itu; iaitu peristiwa seperti mana kita berpuasa untuk mengingati peristiwa turunnya al-Quran tersebut.

"Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah dia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu dan kamu sebenarnya yang zalim (terhadap diri sendiri). (maksud Al-Baqarah: 51)

Peraturan dan syariat baru (Ten Commandments) itu dirakam dalam bentuk batu bersurat, prasasti untuk Bani Israel dan menurut riwayat, Nabi Musa a.s sendiri telah memecahkan batu bersurat yang terakam di atasnya peraturan baru terhadap umatnya itu. Puncanya, baginda berang ke atas sikap umatnya yang kembali menyembah anak lembu ciptaan Samiri.

Sikap marah Nabi Musa itu turut tercurah ke atas saudaranya Nabi Harun. Allah s.w.t merakamkan kejadian tersebut.

Nabi Harun menjawab: "Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: `Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrael sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!" (maksud Taha: 94)

Kejadian itu benar-benar mengecewakan Nabi Musa a.s kerana hampir keseluruhan Bani Israel telah kembali menuju jalan kesesatan, melainkan segolongan yang kecil sahaja yang masih setia berkiblatkan kepada ajaran Tauhid yang asal.

Samiri, mungkin seorang pengamal sihir telah mengambil kesan jejak langkah rasul untuk menguatkan lagi kesan sihirnya ke atas Bani Israel. Ketika Nabi Musa a.s bertanya kepada Samiri, maka penyihir itu berkata.

"Ia menjawab: "Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku". (Taha: 96)

Demikianlah halnya dengan nasib umat Islam hari ini. Mereka boleh disesatkan ahli sihir, wanita penyihir yang menjadi isteri pembesar secara halus dan tersirat jika agamawan dan mufti masih setia dan selesa menjaga kedudukannya dengan mengambil sikap membisu (syaitan bisu) dan tidak membuka simpulan tali pada lidahnya dalam usaha menegur amalan sihir isteri pembesar yang boleh menyesatkan aqidah umat ini secara beransur-ansur.

Sikap Muslimin terhadap Lailatul Quran

Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, kita mendapat dua bentuk kemuliaan dari langit. Pertamanya, Al-Quran yang turun dari langit pada malam Lailatul Qadar dalam bulan Ramadhan. Kedua kita mendapat arahan melakukan solat fardhu ketika Nabi Muhammad s.a.w menerimanya di langit pada malam Isra' Mikraj.

Rasulullah s.a.w pernah disoal tentang amalan apakah yang sebaik-baiknya diamalkan jika mereka bertemu Lailatul Qadar itu. Maka nabi meminta kita membaca doa, "Allahumma inna nas aluka ridhoka wal jannah wa na'uzubika min sakhatika wan nar..."

Oleh kerana Lailatul Qadar ini terkait dengan sejarah penurunan al-Quran, dan malaikat serta ruh pun turun mengiringi penurunan al-Quran sebagai petunjuk dan hidayah, maka selayaknya kita menghiasi malam Lailatul Qadar dengan doa yang tidak bersifat keduniaan semata-mata, seperti mohon hendak jadi kaya, mendapat projek, dan lain-lain.

Biarlah kita mohon supaya ada keberkatan (roh) pada harta kekayaan itu, iaitu kita akan pandai menggunakannya ke arah kebaikan, mengeluarkan zakat, membanyakkan sedekah dan lain-lain.

Dan jika kita mendapat projek sekali pun, ia bukanlah didapati melalui rasuah dan tidaklah kita mengalibabakan projek sehingga menyebabkan banyaknya pembinaan rumah yang terbengkalai. Atau jika mendapat projek pembelian kapal selam itu sekali pun, ia bukanlah sampai mengundang tragedi berdarah ke atas wanita Mongolia.

Syahadan, doa yang teragung adalah doa yang telah diajarkan oleh baginda tadi - "Allahumma inna nas aluka ridhoka wal jannah wa na'uzubika min sakhatika wan nar."

Hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam ada keghairahan mencari tanda-tanda Lailatul Qadar kerana mahukan imbuhan pahala yang banyak kerana malam itu dikatakan lebih baik daripada 1,000 bulan. Juga, mereka menunggu malam itu kerana pada malam itu akan dimakbulkan segala doa dan hajat.

Malah, dengan sebab tersebarnya mitos berhubung pokok-pokok bersujud pada malam tersebut, maka ada kalangan kita yang sanggup menunggu isyarat itu agar terbentang di depan mata. Adalah terlebih afdal, masa yang digunakan untuk menunggu petanda itu digunakan untuk meneruskan amalan dan berdoa untuk kebaikan kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

Kalau kita mahu berdoa untuk mendapat imbuhan akhirat yang baik, maka hendaklah kita berdoa agar diberi sebuah dunia yang baik di mana khalifahnya adil dalam pemerintahan. Pemimpinnya banyak menyeru ke arah amal soleh dan secara tidak langsung akan menyebabkan bakal lahirnya sebuah dunia yang baik, insya Allah Ta'ala.



"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"

Tuesday, August 17, 2010

0
Komen

::Nak buka Puasa::



Ramadhan al-Mubarak bertandang lagi. Serentak itu juga bermula satu fenomena masyarakat, iaitu perlumbaan mengambil kesempatan di atas kehadiran bulan mulia lagi berkat ini.

Sepertimana namanya sebagai al-Mubarak, yakni bulan penuh keberkatan, maka antara intipati utama keberkatan Ramadhan itu ialah janji Allah Ta’ala bahawa di sepanjang bulan mulia ini disediakan berbagai bentuk peluang dan keistimewaan yang perlu direbut. Untuk itu, Islam mengajar kita bahawa perlumbaan paling utama bagi umatnya ialah mengejar dan memanfaatkan pelbagai kelebihan yang disajikan Allah Ta’ala di bulan penuh berkat ini.

Antaranya peluang dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka, serta dibelenggu segala syaitan. Keadaan itu sepatutnya menjadikan kita tiada lagi alasan untuk tidak terdorong melakukan kebaikan.

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w. ada menyebut bahawa Ramadhan menyajikan peluang untuk umat Islam mengejar rahmat, maghfirah (keampunan) dari Allah dan pembebasan daripada api neraka.

Manakala Ramadhan sebagai bulan al-Quran pula membentangkan umat Islam dengan lautan nikmat dan rahmat yang terkandung di dalam kitab suci itu sendiri. Hanya dengan mendampingi dan menghayati kandungannya, umat Islam akan benar-benar dapat mengecapi hakikat al-Quran sebagai “hudan lin-naas” (petunjuk bagi manusia), “bayyinatin minal huda” (memperjelaskan jalan kepada petunjuk) dan “al-furqan” (yang membezakan), yakni menerangkan kepada manusia tentang mana hak dan batil, beza antara iman dan kufur, Islam dan jahiliyah.

Allah Ta’ala mengangkat lagi keistimewaan Ramadhan dengan adanya satu malam amat berkat yang dinamakan Lailatul Qadar. Satu malam itu disebutkan di dalam al-Quran ‘lebih baik daripada seribu bulan’, yakni kira-kira 83 tahun.

Di bulan Ramadhan juga Allah Ta’ala menggandakan ganjaran pahala bagi setiap amal. Sesuatu amal sunat diberi ganjaran seperti amal fardhu, manakala satu amal fardhu dilipatgandakan ganjarannya sehingga 70 kali.

Betapa pun ghairah masyarakat kita memanfaatkan kehadiran Ramadhan dengan perlumbaan ukhrawi itu, kita tidak boleh menafikan betapa kita juga ikut terjebak dengan perlumbaan yang lebih menjurus kepada kepentingan duniawi.

Di negara kita, mahu pun di serata dunia Islam, kehadiran Ramadhan seakan sinonim dengan pesta makanan. Berbagai juadah dan masakan enak yang antaranya tidak ditemui di bulan-bulan lain sepanjang tahun, tiba-tiba muncul berlambak-lambak di bulan puasa.

Sebilangan umat Islam mengambil kesempatan berniaga. Gerai dan kanopi menjual kuih-muih dan lauk-pauk terpacak di hampir setiap lokasi strategik di segenap pelusuk tanahair. Tabiat umat Islam yang tidak lokek berbelanja dan terdorong pula oleh kemaruk selera perut yang lapar, menyuburkan aktiviti perniagaan segera ini.

Selain perniagaan makanan dan minuman, bahan mentah dan keperluan dapur, turut mula dipromosi secara hebat sebermula Ramadhan ialah perniagaan pakaian dan lain-lain keperluan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Idulfitri. Keghairahan menyambut kedatangan Hari Lebaran mendorong umat Islam tidak begitu mengambil kira soal harga ditawarkan peniaga.

Satu fenomena yang semakin menjadi kecenderungan masyarakat negara kita sejak beberapa dekad kebelakangan ini ialah untuk berbuka puasa di luar. Disebabkan wujudnya permintaan dan kecenderungan masyarakat, maka hidangan bufet Ramadhan kini menjadi perlumbaan di kalangan restoran, resort, hotel dan berbagai lokasi berprestij lain.

Namun suatu pendedahan agak membimbangkan, tidak semua premis yang menawarkan sajian berbuka puasa itu diyakini status halal mereka. Satu kenyataan dari Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz sepertimana dipetik kebanyakan media cetak pada Rabu mendedahkan hanya 22 daripada sekian banyak hotel di sekitar Wilayah Persekutuan yang diberikan pensijilan halal oleh pihaknya.

Di atas hakikat itu, beliau memberi amaran kepada pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal agar tidak menyalahgunakan terma bufet Ramadhan (menggambarkan seolah-olah ianya halal) atau berdepan risiko diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Akhbar pada hari sama turut mendedahkan majoriti kopitiam di ibukota masih belum memiliki pengesahan halal oleh Jakim. Kita percaya kes-kes dihadapi premis makan di sekitar ibukota itu turut dihadapi di seluruh negara.

Ertinya, ancaman wujudnya kemungkinan umat Islam yang berpuasa disajikan makanan yang diragui status halalnya atau termasuk kategori syubhah bukan perkara yang boleh dipandang remeh lagi. Kita diajar betapa pahala dan kesempurnaan ibadat puasa itu boleh terhakis dan terkikis oleh beberapa perkara. Antaranya apabila orang berpuasa itu terlibat dalam perkara syubhah, termasuk mengambil makanan yang diragui status halalnya.

Islam mengajar kita bahawa yang halal dan haram itu jelas, sedangkan yang di tengah-tengah antara keduanya adalah syubhah atau perkara meragukan. Cara terbaik memastikan lapar-dahaga dan keletihan kita sepanjang hari tidak berlalu sia-sia ialah dengan menjauhi sesuatu yang syubhah.

Alang-alang kita sudah bersedia berlumba mendapatkan berbagai keutamaan dan kesitimewaan disajikan Allah Ta’ala di bulan penuh berkat ini, mengapa tidak kita pastikan perlumbaan kita itu tidak dicemari dengan sikap tidak cermat kita sendiri di dalam memilih sajian yang halal lagi baik?

Hayatilah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168 (bermaksud):

“Wahai manusia, makanlah apa-apa yang ada di muka bumi daripada benda-benda yang halal lagi baik dan janganlah kamu menurut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya ia (syaitan) seteru kamu yang nyata.”

"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"

Wednesday, August 11, 2010

0
Komen

::Ramadhan::



RAKAN PUSAT ISLAM MENGUCAPKAN SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"

Wednesday, August 4, 2010

0
Komen

.:Memahami keperluan bermazhab:.

Bahagian 2/4

Ilmu hadith belum cukup tanpa fiqh

Abdul Latif Rahbar

Ilmuan-ilmuan Islam yang terkenal seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan lain-lain imam muhaddithin yang mana mereka sudahpun menghafal ratusan ribu hadis masih tetap mengamalkan agama berdasarkan mazhab imam-imam mujtahid walaupun pada pandangan mata umum apalah perlunya mereka bertaqlid sedangkan mereka mempunyai ilmu agama yang jauh lebih daripada cukup? Di sinilah bezanya antara fuqaha (ahli-ahli fiqh) dan muhaddithin (ahli-ahli hadith). Apabila seseorang itu mengetahui beribu hadis sekalipun, tetapi dia tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk membahaskannya, maka dia tidak layak untuk mengeluarkan sesuatu pendapat. Mereka-mereka yang mempelajari Sunan Tirmizi pasti mengetahui bahawa apabila membincangkan masalah fiqh, Imam Tirmizi tidak pernah mengambil pendapat guru beliau Imam Bukhari, tetapi beliau menyebut nama-nama seperti Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad atau ulama Kufah iaitu Imam Abu Hanifah. Imam Tirmizi hanya akan mengambil nama Imam Bukhari apabila beliau membahaskan kesahihan atau status sesuatu hadis, kerana beliau mengetahui bahawa walaupun Imam Bukhari adalah pakar dalam bidang hadis, tetapi kepakaran Imam Bukhari dalam ilmu fiqh belum dapat menandingi kepakaran yang ada pada imam-imam mujtahid. Dapat kita fahami di sini, bahawa setinggi manapun ilmu hadith seseorang itu, belum tentu dia layak mengeluarkan fatwa sekiranya dia tidak mempunyai ilmu fiqh yang cukup. Sekiranya datang dua nas bertentangan antara satu sama lain, yang mana kedua-duanya adalah sahih dan sama kuat, yang mana satukah akan kita ambil? Ini hanya dapat dilakukan seandainya kita mampu memahami selok-belok ilmu fiqah, bukan dengan hanya bersandarkan kepada kesahihan semata-mata. Sebagai contoh ingin penulis menceritakan di sini perbahasan antara dua imam mujtahid Abu Hanifah dan Awza’I mengenai masalah mengangkat kedua belah tangan selepas bangun dari rukuk. Imam Awza’i mengatakan: “Saya meriwayatkan dari Salim, dari Nafi’ dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. mengangkat tangan dalam solat Baginda s.a.w.” Lalu Imam Abu Hanifah menjawab: “Saya meriwayatkan dari Hammad, dari Ibrahim An-Nakh’i dari ‘Alqamah dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah s.a.w tidak mengangkat tangan Baginda s.a.w.” Imam Awza’i membalas: “Saya membawa sanad (rangkaian periwayat) yang lebih sedikit dan tuan ingin berhujah dengan sanad yang lebih perantaraannya?” (Mengikut pendapat ulama hadis, hadis yang lebih kurang perantaraannya antara perawi dengan Baginda s.a.w adalah lebih kuat dari hadis yang mempunyai lebih perawi, seperti yang tertera di atas bahawa antara Imam Awza’i dan Rasulullah s.a.w hanya tiga perawi dibandingkan dengan Imam Abu Hanifah yang mempunyai empat perawi). Jawab Imam Abu Hanifah: “Hammad lebih faqih daripada Salim, Ibrahim An-Nakh’i lebih faqih daripada Nafi’ dan ‘Alqamah lebih faqih daripada Ibnu Umar walaupun beliau adalah seorang sahabat Nabi s.a.w. Dan Ibnu Mas’ud adalah Ibnu Mas’ud (siapakah yang dapat menafikan kefaqihan Ibnu Mas’ud?).” Di sini Imam Abu Hanifah mengambil kira faktor kefaqihan perawi dalam mengeluarkan fatwa dan bukan bersandarkan kepada kekuatan dan nilai sesebuah hadis semata-mata. Pun begitu perlu diingatkan bahawa menurut pendapat Imam Syafie mengangkat tangan selepas rukuk adalah sunnah kerana ia adalah amalan penduduk Tanah Haram dan Syam, yang mana terdapat sekurang-kurangnya 35,000 sahabat dikebumikan di Syam. Dalam sebuah hadith riwayat Sunan, Nabi s.a.w. bersabda: "Semoga Allah ta’ala menyegarkan fikiran orang yang mendengar perkataanku, lalu dia menyampaikannya sepertimana yang dia dengar. Betapa ramai orang yang disampaikan itu lebih memahami dari si pendengar asal itu sendiri." Di sini Nabi s.a.w. sendiri mengkategorikan antara mereka yang menghafal hadis dan mereka yang memahami hadis. Kerana itulah Imam A’mash salah seorang perawi Bukhari telah berkata kepada anak murid beliau Imam Abu Hanifah: “Kamu wahai golongan fuqaha’ adalah doktor dan kami (golongan muhaddithin) hanyalah penjual ubat.” Dalam I’lam al-Muwaqqi’in Imam Ibnul-Qayyim meriwayatkan bahawa satu ketika Muhammad bin Ubaidullah bin Munadi telah mendengar seorang lelaki bertanya kepada guru beliau Imam Ahmad bin Hanbal: “Apabila seseorang itu menghafal 100,000 hadith, adakah dia dikira sebagai seorang yang faqih?” Imam Ahmad menjawab: “Tidak.” Dia ditanya lagi: “Sekiranya 200,000 hadith?” Balas beliau: “Tidak.” Orang itu bertanya lagi: “Sekiranya 300,000?” dan sekali lagi Imam Ahmad menjawab tidak. Kemudian orang itu bertanya: "Bagaimana sekiranya dia menghafal 400,000 hadith?” Lalu Imam Ahmad mengisyaratkan dengan tangan beliau, “Lebih kurang begitulah.” Riwayat di atas memberi gambaran jelas kepada semua, dengan hanya mempelajari beberapa ribu hadis belum tentu kita mampu untuk melayakkan diri kita dalam mengeluarkan pendapat sewenang-wenangnya. Apatah lagi bila hanya tahu beberapa kerat hadis? Mengapakah kita perlu bermazhab? Inilah soalan yang sering diajukan oleh ghair muqallidin (golongan tidak bermazhab). Jawapannya amat ringkas: Apabila kita tidak mempunyai ilmu yang cukup maka wajib untuk kita mendengar mereka yang paling arif, dan sekiranya kita mempunyai ilmu yang cukup maka haram untuk kita mengikut mana-mana mazhab. Ini bersesuaian dengan mafhum firman Allah ta’ala dalam surah al-Mulk apabila Allah ta’ala menceritakan perihal penduduk neraka: "Dan mereka berkata: 'Sekiranya kami mendengar (patuh) atau kami memahami (akan agama) maka sudah tentulah kami tidak akan menjadi penduduk Sa’ir (Neraka)'". Walaupun ayat di atas adalah berkenaan dengan iman, tetapi memandangkan konteks ayat adalah luas maka ulama berhujah tentang betapa pentingnya patuh kepada yang mahir. Dan sekiranya kita tidak mahu patuh maka kita sendiri mestilah menjadi dari golongan yang berakal dan memahami sedalam-dalamnya.Sekiranya kita tidak berhati-hati, maka dikhuatiri kita akan terjebak lalu tergelungsur jatuh dan jauh menyimpang dari kehendak syariah walaupun pada asalnya niat yang sebenar adalah untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi bersesuaian dengan yang di bawa oleh Baginda s.a.w. Amalan ulama yang jauh lebih mahir berbanding kita sendiri adalah hujah yang kuat betapa kita tidak sepatutnya dengan sewenang-wenang mengeluarkan pendapat sendiri. Nama-nama seperti Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah, Tahawi, Ibnu Hajar, Ibnu Rushd, Sayuti, Ibnu Kathir adalah antara mereka yang bertaqlid dengan imam-imam mujtahid yang datang sebelum mereka. Golongan yang tidak mengikut mazhab pada hari ini banyak menggunakan pendapat Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim dalam membahaskan pendapat mereka. Tidakkah mereka sedar bahawa keduanya adalah antara ulama ulung dalam mazhab Hanbali? Dan mengapa tidak sahaja mereka digelar Taimi sekiranya mereka merasakan bahawa pendapat Ibnu Taimiyyah sahaja yang berasaskan al-Quran dan Sunnah?Adakah imam-imam mujtahid terdahulu tidak memahami sunnah sedangkan zaman mereka jauh lebih dekat dengan zaman Baginda s.a.w. dan para sahabat kalau nak dibandingkan dengan Ibnu Taimiyyah yang datang enam hingga tujuh abad selepas imam-imam mujtahid? Hakikatnya apabila kita berpegang kepada pendapat imam mujtahid, kita sudahpun berpegang kepada dalil dan tali yang kukuh. Imam Dzahabi seorang ahli sejarah yang terkenal dan alim mengenai ilmu-ilmu perawi hadis dalam kitab-kitab beliau tidak pernah berbahas mengenai imam-imam mujtahid. Ini kerana penerimaan umum dan kehebatan imam-imam mujtahid mencapai darjah mutawatir, iaitu mustahil untuk orang ramai bersepakat untuk berbohong dalam menyatakan keunggulan imam-imam tersebut. Ghair muqallidin hari inipun lebih banyak berpandukan pendapat ulama yang tidak mengikut mazhab seperti mereka antaranya Syeikh Nasirudin al-Albani. Persoalannya sekarang apabila mereka mengikut al-Albani maka mereka sahajalah Ahlusunnah wal-jama’ah. Dan apabila kita terikat dengan pendapat-pendapat Syafie maka kita tidak digelar sebagai Ahlussunnah. Di manakah keadilan? Jadi, apabila kita sedia maklum bahawa ilmu yang ada pada kita hari ini belum tentu cukup untuk kita berbahas segala dalil dalam sesuatu masalah agama, apakah hak kita untuk berijtihad apatah lagi memberi keizinan umum kepada orang-orang awam untuk berijtihad sendiri? Sedangkan tahap pemahaman dalam kalangan ulama ada bezanya, apakah perlu kita menyusahkan orang ramai untuk berfatwa?



"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"

"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"

"InsyaAllah"

0
Komen

.:Memahami keperluan bermazhab:.

Bahagian 1/4

Abdul Latif Rahbar  

Segala puji bagi Allah ta’ala Pencipta syariah yang sempurna. Salawat dan Salam ke atas junjungan mulia Rasulullah s.a.w. yang telah menyampaikan syariah tersebut sebaik-baiknya.


Juga ke atas keluarga dan sahabat-sahabat Baginda s.a.w. yang mempraktikkannya kepada ummah yang datang kemudiannya. Dan ke atas imam-imam mujtahidin yang telah banyak berkorban dalam memimpin ummah ini dalam memahami syariah yang sempurna ini.

Pembaca yang dimuliakan, dewasa ini kita sering mendengar slogan-slogan yang memanggil kita ke arah pemahaman al-Quran dan Sunnah yang sebenar. Malah ramai di kalangan ahli-ahli akademik sendiri yang menyarankan agar kita mengkaji sendiri sedalam-dalamnya kedua-dua sumber asal syariah kita yang mulia.

Sehinggakan ada di kalangan mereka yang menyatakan bahawa al-Quran dan Sunnah adalah pedoman utama, dan tidak perlu kita bergantung atau mengikut mana-mana mazhab kerana tiada arahan spesifik daripada Baginda s.a.w. supaya kita perlu mengikut individu-individu yang tertentu dalam menghidupkan agama dalam diri kita.

Inilah slogan yang selalu kita dengar akhir-akhir ini, apabila ramai pihak melaung-laungkannya sambil menganggap bahawa bermazhab tidak akan membawa kita kepada kemajuan dan akan meninggalkan kita di bawah tempurung yang amat kecil.

Lalu mereka memberikan keizinan umum kepada semua pihak tidak kira golongan terpelajar atau tidak untuk mengeluarkan pendapat atau melakukan sesuatu amalan asalkan sumber yang didapati benar-benar sahih walaupun pendapat tersebut terang-terang berlawanan dengan pendapat yang telahpun dikeluarkan oleh imam-imam mujtahid yang datang beribu tahun sebelum kita.

Ada juga dalam kalangan mereka yang mengatakan bahawa terdapat pendapat imam tidak mengikut apa yang dinyatakan dalam hadis sahih, oleh itu tidak perlu kita mengamalkannya kerana kita hanya memerlukan sumber yang kuat sahaja dalam agama kita.

Lalu mereka menolak tarawih 20 rakaat, doa qunut pada waktu subuh, bacaan al-Fatihah di belakang imam dan pembatalan wuduk apabila tersentuh dengan wanita kerana pada "kajian" mereka amalan-amalan ini tidak bersandarkan kepada hadis-hadis yang sahih.

Benarkah begitu?

Pertama sekali perlu difahami bahawa untuk mengeluarkan sesuatu pendapat dalam bidang agama kita perlulah mengetahui A-Z bidang tersebut dan mestilah diiktiraf keilmuan kita mengenainya.

Perbuatan mengeluarkan pendapat tanpa ilmu yang diiktiraf adalah salah walaupun pendapat yang dikeluarkan adalah betul.

Sebaliknya, sekiranya seseorang itu sudah diiktiraf mencapai tahap yang mana dia mampu mengeluarkan pendapat berdasarkan sumber agama, lalu dia berfatwa atau berijtihad mengenai sesuatu perkara, maka dia tetap akan mendapat ganjaran walaupun ada kemungkinan untuknya mengeluarkan pendapat yang tidak tepat dalam perkara tersebut.

Seorang yang tidak mempunyai lesen perubatan sekiranya cuba merawat pesakit adalah dikira bersalah walau sehebat manapun ilmunya dalam bidang perubatan. Sekiranya untuk perubatan jasmani kita terlalu berhati-hati, apatah lagi bidang perubatan rohani?

Perlu diingatkan bahawa yang boleh mengiktiraf seseorang untuk menncapai taraf mujtahid hanyalah golongan-golongan yangg sudah mencapai tahap yang sama. Hanya pakar perubatan boleh mengiktiraf sama ada seorang pelajar perubatan sudah layak untuk merawat pesakit atau sebaliknya.

Diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud dari Jabir r.a. bahawa: "Satu ketika kami telah melakukan pengembaraan lalu salah seorang dari kami telah terkena batu lalu terlukalah kepalanya. Pada malamnya dia telah berihtilam (mimpi basah) lalu dia bertanya kepada teman-temannya: 'Adakah kamu semua mendapati sebarang kelonggaran untukku bertayammum (tanpa perlu mandi wajib)?'”

Mereka menjawab: 'Kami tidak menjumpai sebarang kelonggaran untukmu sekiranya kamu masih boleh menggunakan air.' Lelaki tersebut menunaikan mandi wajib dan terbukalah luka di kepalanya lalu dia meninggal."

Apabila kami sampai kepada Rasulullah s.a.w dan berita ini disampaikan kepadanya Baginda s.a.w bersabda: 'Mereka (yang berpendapat bahawa dia tidak boleh bertayamum) telah membunuhnya, semoga Allah ta’ala membunuh mereka! Mengapa tidak mereka bertanya sekiranya mereka tidak tahu? Sesungguhnya satu-satunya rawatan bagi kejahilan adalah dengan bertanya.'” (Abu Daud 1.93)

Setiap pendapat yang dikeluarkan oleh imam-imam mujtahid sebelum kita seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafii dan Imam Ahmad bin Hanbal adalah pendapat yang telah ditapis, dikaji dan dibahas sebelum mereka berfatwa mengenainya. Imam-imam tersebut akan terlebih dahulu mengambil kira pro atau kontra sesuatu ayat al-Quran dan Sunnah dan bukan hanya bersandarkan kepada sepotong hadis yang mereka temui.

Imam Malik misalnya tidak pernah mengeluarkan pendapat melainkan pendapat tersebut terlebih dahulu diutarakan dan dipersetujui oleh 70 ulama yang hidup pada zaman beliau.

Imam Abu Hanifah mempunyai majlis fatwa beliau yang terdiri dari puluhan ulama yang membahaskan kesemua masalah agama sebelum meluluskan sesuatu fatwa.

Kerana sifat berhati-hati inilah ulama Ilmu Rijal (ilmu berkenaan sejarah perawi-perawi hadis) sama sekali tidak pernah mempertikaikan imam-imam mujtahid dari segi kemampuan mereka berijtihad.


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"

"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"

"InsyaAllah"

Sunday, August 1, 2010

0
Komen

::Nisfu Syaaban bakar semangat pejuang Islam::

Eropah pasti jadi wilayah Muslim andai pejuang tauhid tidak tewas di Perancis pada 141H


WALAUPUN Nisfu Syaaban bukan ajaran inti dalam Islam, ia tetap mempunyai impak tersendiri bagi kehidupan umat Islam. Bahkan, seandainya ada yang terang-terangan melarangnya, dia akan berdepan dengan pihak berkuasa di sesetengah kawasan seperti juga jika ada orang yang menyuruhnya secara terang-terangan di rantau lain dia akan berdepan dengan pihak berkuasa rantau itu.

Walaupun Syaaban sudah ribuan kali berulang akan tetapi satu bulan Syaaban yang berlaku pada tahun 141 Hijrah memberi impak khusus bagi umat Islam dalam kehidupan dakwah menyeru umat manusia tunduk kepadanya.
Jika kejadian pada Syaaban 114H, Jumaat atau tarikhnya bersamaan 10 Oktober 732M tidak berlaku, maka sejarah dunia sudah berputar dalam putaran yang lain.

Ahli sejarah Barat, Edward Gibon dalam Roman Empire berpendapat seandainya kejadian itu tidak berlaku maka agama Islam akan menyebar luas di bumi Eropah dan di Universiti Oxford, pengajian berteraskan wahyu al-Quran akan menjadi suatu fenomena. Menurut pendapat yang lain, kejadian berkenaan sudah membuktikan kejayaan dan penguasaan agama Kristian ke atas daratan Eropah dan menyekat kemaraan Islam di sana.

Lalu, apakah yang berlaku pada hari itu? Apa yang berlaku pada Syaaban 1317 sehingga ramai ahli sejarah berkeyakinan demikian?

Pada hari itu berakhirnya rentetan peperangan penaklukan daratan Eropah oleh tentera Islam. Pemimpin tentera Islam gagah berani sudah masuk kota Tours, Perancis, Abdul Rahman al-Ghafiqi terbunuh dalam peperangan menurut sejarah Islam disebut Ma'rakah Balath al-Syuhada dan menurut Barat disebut pertempuran Tours atau Poitiers.
Umat Islam menamakannya dengan nama demikian kerana ramai pejuangnya mati syahid sebelum mereka mengundurkan diri daripada peperangan dan tiada niat untuk melakukan sebarang pertempuran pada kemudian hari. ‘Balath’ bahasa Arab bererti ‘istana’ atau ‘lantai.’ Jadi pertempuran itu adalah pertempuran istana kalangan syahid atau ‘lantai-lantai’ untuk mereka. Sedangkan orang Eropah menyebutnya demikian kerana mengambil nama bersempena nama kota tempat pertempuran berlaku.

Abdul Rahman al-Ghafiqi mempunyai cita-cita seperti pendahulu penguasa Islam di Andalus dan utusan Khalifah Umayyah di Damsyik bermula daripada Tariq Ziad, Musa Nushair, al-Samh Malik al-Khaulani hinggalah Anbasah Suhaim al-Kalbi. Al-Ghafiqi mengambil tampuk kepemimpinan pada 730 M. Beliau menyatukan kembali cita-cita awal pemimpin sebelumnya.

Penaklukan seluruh Sepanyol oleh tentera Islam hanya dalam masa tidak lama sudah menunjukkan kehebatan tentera Islam sehingga akhirnya setiap kali berlaku pertempuran antara tentera Islam dan penentangnya raja-raja Sepanyol hanya memerhati bahkan memberi laluan kepada tentera Islam. Justeru ini satu strategik mereka dalam menghadapi tentera Islam kerana menyedari mereka tidak mampu mengalahkan tentera Islam.

Seorang raja yang dihormati di kalangan mereka pernah berkata: “Beta sudah memikirkan secara mendalam perkara ini (tidak melawan tentera Islam) dan beta berpendapat pada masa ini kita tidak perlu menghadapi mereka secara langsung. Mereka adalah pejuang-pejuang yang tinggi mentalnya. Mereka golongan yang memiliki akidah yang kukuh sehingga tak menghiraukan jumlah dan senjata. Mereka mempunyai iman dan kejujuran yang jauh lebih berharga dibandingkan dengan senjata, pakaian perang atau kuda. Kerana itu, lebih baik kita membiarkan mereka; mereka akan terus mengumpulkan harta dan ghanimah (pampasan perang), kemudian mereka membangun rumah dan istana serta berupaya untuk memperbanyak memiliki budak hamba lelaki mahu pun perempuan; dan akhirnya kita akan lihat mereka akan saling merebut kekuasaan. Pada saat itu, kita boleh menakluk mereka dengan mudah tanpa banyak pengorbanan.”

Inilah yang berlaku ke atas tentera pimpinan Al-Ghafiqi. Menurut ahli sejarah Islam, Perang Uhud pada zaman Rasulullah SAW berulang lagi dalam pertempuran Balath al-Syuhada. Kalangan pejuang ‘silau mata’ dengan melimpah ruahnya pampasan perang itu sehingga mereka bukan berperang menakluk musuh, tetapi berperang mempertahankan pampasan itu.

Sifat inilah dilihat pimpinan tentera Eropah, Charles Martel. Pada mulanya dia dan tenteranya sudah putus asa akan memenangi peperangan. Tetapi kerana teringat nasihat raja di atas, dia memulakan propaganda bahawa pampasan perang pejuang Islam sudah dimusnahkan.

Propaganda ini berjaya dan membuat pejuang Islam mundur ke belakang untuk mempertahankan ghanimah dan pada masa sama Martel dan tenteranya boleh mengalahkan Abdul Rahman al-Ghafiqi yang masih berjuang dengan gigih bersama segelintir pengikutnya kerana ditinggalkan pejuang yang hauskan pampasan perang ini. Al-Ghafiqi terbunuh, tentera Islam kucar kacir melarikan diri dan tidak pernah kembali.

Inilah sejarah memilukan hati. Kerana harta, prinsip dan cita-cita perjuangan terbantut dan kemenangan tergadai. Di bawah kepemimpinan al-Ghafiqi, selatan Perancis sudah diduduki umat Islam. Seandainya pertempuran Balath al-Syuhada berpihak kepadanya sudah tentu acara meraikan kemuliaan Syaaban sebagai bulan Nabi akan juga dirasai di seluruh Eropah seperti kita merasainya di rantau ini. Seandainya ia berlaku, kita tidak mengenal daratan Eropah Kristian, tetapi Eropah Islam. Bila lagi al-Ghafiqi akan muncul?


"Pastikan Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam"
"Esok Lebih Baik Dari Hari Ini"
"InsyaAllah"